Pengenalan
Gawai Dayak merupakan perayaan yang disambut di
Sarawak oleh kaum pribumi Sarawak, terutamanya
Iban,
Bidayuh dan
Orang Ulu
seperti Kayan dan Kenyah, dan juga komuniti Dayak di Kalimantan Barat.
Kebanyakan kaum-kaum Dayak ini masih tinggal di rumah-rumah panjang dan
setengah-tengahnya tinggal berkelompok di kampung-kampung. Ada juga yang
sudah tinggal menetap di bandar-bandar untuk mencari pekerjaan dan sara
hidup yang lain.
Gawai bermaksud pesta. Jadi, Gawai Dayak adalah Pesta Dayak. Gawai
Dayak merupakan hari menyambut tahun baru yang ditandakan dengan
berakhirnya musim menuai padi dan bermulanya musim menanam padi yang
baru. Ia merupakan musim perayaan pesta-pesta tradisi dan sosial.
Gawai Dayak mula disambut secara besar-besaran semenjak
25 September 1964 apabila
Hari Gawai diisytiharkan sebagai hari perayaan rasmi di Sarawak. Sambutan Gawai Dayak pada peringkat negeri yang pertama adalah pada
1 Jun 1965. Sebelum itu, hari cuti umum ini dipanggil Hari Sarawak oleh pemerintahan
Rajah Brooke.
Sebenarnya, Gawai Dayak adalah musim perayaan yang berlangsung selama
lebih kurang sebulan yang bermula dari hujung bulan Mei sehingga akhir
bulan Jun setiap tahun bagi masyarakat Dayak. Mereka mempunyai beberapa
upacara besar yang dijalankan di
rumah panjang
dan bandar. Hari pertama perayaan jatuh pada 31hb Mei dan hari kedua
pada 1hb Jun setiap tahun dan akan tamat secara rasmi dengan upacara
penutupan pada akhir bulan Jun yang dipanggil menggulung tikar.
Penanaman padi adalah aktiviti utama pada kehidupan orang Dayak sejak
dahulu kala lagi kerana beras adalah makanan utama mereka. Selepas
tamatnya musim menuai padi, sudah tentunya kaum Dayak mempunyai banyak
beras. Jadi, sesuailah masanya untuk meraikan pesta-pesta tertentu yang
diperlukan.
Persediaan sebelum Gawai Dayak

Persediaan untuk menyambut Gawai Dayak bermula bila tibanya bulan Mei
dengan penapaian "tuak" iaitu sejenis minuman tradisi komuniti Dayak.
Penapaian tuak mengambil masa selama kira-kira sebulan. Tuak dihasilkan
daripada penapaian nasi pulut yang telah dimasak dan dicampur ragi
sebelum disimpan dalam tempayan. Bila sudah ada sedikit air tuak tulen
pada nasi pulut yang ditapai itu, air yang telah dimasak dan dicampur
gula akan ditambahkan secukupnya mengikut banyaknya nasi pulut tersebut.
Pada akhir bulan Mei, air tuak itu boleh ditapis dan diminum. Meminum
tuak melambangkan kekuatan tenaga dan keberanian hati tanpa
berbelah-bahagi.
Setelah siap membuat tuak iaitu selepas pertengahan bulan Mei, kaum
wanita akan membuat kuih-muih tradisi orang Dayak yang dipanggil "sarang
semut", "acuan" dan "kuih sepit". Kuih-muih ini diperbuat daripada
tepung beras yang dicampur air, telur and gula lalu digoreng sehingga
keras dan kering dalam minyak masak. Kuih-muih yang telah siap akan
disimpan dalam tempayan atau tin supaya tahan untuk beberapa minggu
tanpa basi sementara menunggu tibanya hari gawai.
Sebelum berakhirnya bulan Mei, gotong-royong untuk pembersihan dan
perhiasan rumah panjang atau kampung boleh diadakan seperti mengecat
atau membaiki bahagian-bahagian rumah yang rosak. Rumah panjang dibina
mengikuti peraturan-peraturan tertentu supaya ia digunakan sebagai
tempat kediaman dan juga tempat beribadat. Jadi, pembinaan arkitek ini
mesti dikekalkan sepnajang masa.
[1]
Selepas itu, acara pembersihan kubur selalunya diadakan setiap tahun
sebagai tanda penghormatan bagi orang-orang yang telah meninggal seperti
nenak-moyang, ahli-ahli keluarga, sahabat handai and masyarakat
setempat.
Rumah panjang atau kampung seterusnya akan bermesyuarat untuk
menubuhkan sebuah jawatankuasa atau komiti bagi mengatur acara sambutan
gawai pada 31hb Mei dan 1hb Jun. Acara-acara tradisi termasuklah meminum
air panjang umur, perarakan menymabut Tuhan, pertandingan ratu cantik
seperti pekit Kumang dan Keling bagi kaum Iban, pendirian pokok
"ranyai", bermain muzik tradisi, menari tarian asal seperti ngajat dan
datun jalut, persembahan seni mempertahankan diri dan menyanyikan puisi
rakyat.
Pada zaman moden sekarang, acara sukanneka pada siang harinya,
permainan sukaria, karaoke, bejoget dan disco boleh diselitkan untuk
memeriahkan suasana gawai.
Peraturan-peraturan khas untuk dipatuhi oleh orang ramai juga akan
ditentukan untuk menjaga suasana gawai yang meriah tanpa pergaduhan dan
gangguan yang lain. Bagi kaum Iban, peraturan ini dipanggil "begeliga".
Perayaan pada hari pertama Gawai Dayak
Bila tibanya pagi 31hb Mei, orang ramai akan turun mencari bahan
makanan dari hutan atau kebun terutamanya umbut yang sedap dimasak sup
dengan daging haiwan. Ikan, haiwan liar dan sayuran hutan juga dicari
untuk lauk-pauk sebelum gawai.
Selepas itu, orang ramai akan menyembelih haiwan ternakan sebagai
lauk utama gawai. Sekarang ini, daging dan sayuran boleh dibeli di
pasar-pasar terutamanya bagi mereka yang bekerja dan tinggal di
bandar-bandar.
Nasi pulut "pansoh" (lemang) akan dimasak dalam ruas buluh supaya ada
aroma istimewa daripada buluh tersebut yang tidak diperolehi jika
dimasak dalam periuk. Nasi pulut inin adalah dianggap hidangan istimewa
kerana kelekitannya melambangkan perpaduan di kalangan komuniti itu yang
menjamahnya. Nasi pulut juga digunakan untuk membuat nasi manis dan
tuak, sebagai salah satu sajian kepada para dewa dan membaling tiang
chandi sewaktu gawai burung atau kenyalang.
Sementara itu, tikar-tikar anyaman tradisi dengan rekaan
bunga-bungaan yang cantik dan berwarna terang akan dibentangkan di
sepanjang ruai rumah. Jenis-jenis tikar tradisi termasuklah tikar
bemban, tikar rotan dan tikar kulit kayu. Kain-kain tenunan atau ikatan
tradisi yang dipanggil "pua kumbu" pula digantung di dinding-dinding
sebagai perhiasan. Barangan kraft tangan yang lain seperti bakul dan
topi besar boleh juga digantung di dinding-dinding bilik.
Pelantar istimewa dan tilam kapas empuk akan dibuat terutamanya di
ruai Ketua Rumah atau Gawai sebagai tempat singgah-sana para tetamu khas
yang dijemput hadir semasa upacara duduk berbaris mengikut kedudukan
sosial masing-masing nanti.
Selepas semua persediaan ini siap, orang ramai mulalah mandi,
berpakaian kemas dan bersedia untuk acara malam menyambut gawai pada
31hb Mei.
Perayaan pada malam pertama Gawai Dayak
Kira-kira jam 6 petang 31hb Mei, gong akan dipukul untuk mengumumkan permulaan upacara sambutan Gawai Dayak kepada semua orang.
Acara ringkas membuang roh hantu pembaziran yang dipanggil "Antu Rua"
oleh kaum Iban akan dilakukan dengan mengheret sebuah penampi oleh dua
orang budak atau lelaki supaya setiap keluarga boleh membuang sesuatu
barang yang tidak berguna lagi untuk roh itu supaya ia tidak mengganggu
perjalanan perayaan pesta gawai seterusnya selepas barang-barang itu
dipersembahkan untuknya.
Seterusnya akan dilakukan upacara sajian dan penyembahan, yang
dipanggil "miring" atau "bedara" oleh kaum Iban, di setiap bilik
keluarga secara bergilir-gilir dari bilik ke bilik sepanjang rumah
panjang atau kampung. Upacara ini bertujuan sebagai tanda kesyukuran
untuk tahun yang telah berakhir dan memohon panjang umur, kesihatan dan
rezeki pada tahun akan datang.
Bagi mereka yang ada mendapat ubat dan pengaroh (azimat) terbaru,
mereka bolehlah terus membuat kesyukuran atas pemberian barangan itu
bersama sekali. Sekarang ini, beg duit juga akan dikeluarkan bersama
sewaktu upacara sajian ini untuk mendoakan rezeki yang lebih baik pada
masa akan datang.
Bagi kaum Iban, pelbagai bahan sajian persembahan tradisi kepada
dewa-dewa mereka termasuklah daun rokok dan tembakau, daun sirih dan
buah pinang, ketupat dan sungkoi, penganan dan tumpi, nasi pulut dan
nasi manis, cuwan dan sarang semut, rendai, telur ayam dimasak dan tuak
selainnya. Bilangan setiap jenis barangan sajian ini selalunya
bergantung kepada berapa ramai dewa yang dijemput hadir dan untuk Gawai
Dayak adalah 5 biji sebagai sajian untuk tujuan memohon ampun dan pergi
berusaha pada tahun hadapan. Jumlah agihan sajian bergantung kepada
berapa tempat yang ingin diberikan sajian biasanya pada empat sudut
bilik besar, satu di atas dapur, satu di atas tempayan beras, satu di
ruai, satu di verandah, satu di huma atau sawah, satu di kebun, satu
pada kenderaan dan satu sajian untuk setiap harta yang dimiliki jika
ada.
Komuniti Dayak percaya pada seorang Bunsu Kree Petara dan ada tujuh
orang dewa-dewa utama iaitu: dewa kegagahan dan peperangan yang digelar
Sengalang Burong, dewa pertanian untuk hasil tuaian yang lumayan iaitu
dipanggil Sempulang Gana, dewa kesihatan dan panjang umur yang bernama
Menjaya Manang, dewa kekayaan dengan namanya Anda Mara, dewa pembuatan
dan kesuburan yang dipanggil Selampandai, dewa kepercayaan yang disebut
Biku Bunsu Petara dan akhir sekali Ini Inee/Andan sebagai seorang doktor
semulajadi dan dewa keadilan.
[2] Inilah sebabnya komuniti Dayak akan membilang dari satu hingga tujuh bila memulakan doa.
Untuk memulakan upacara sajian persembahan kepada para dewa, seekor
ayam akan dihayunkan di atas kepala semua yang hadir. Hanya orang-orang
terhormat dijemput menyajikan bahan-bahan persembahan itu ke dalam
pingan tembikar atau bakul kulit buluh. Mereka akan membuang separuh air
tuak sebagai "pedara" dalam beberapa gelas dan separuh lagi diminum
oleh mereka sendiri. Air tuak yang dibuang ke tanah itu adalah diberikan
kepada para dewa, orang kenamaan kayangan dan roh nenak-moyang untuk
memberitahu upacara sajian akan dilakukan. Rendai akan ditaburkan untuk
memberitahu upacara sajian bermula. Ada turutan atau giliran untuk
mengambil bahan-bahan itu supaya nampak ada perhiasan pada sajian
persembahan itu. Selalunya penganan akan diletakkan di tengah-tengah
pingan diikuti oleh daun rokok dengan tembakau, daun sirih dibalut kapur
dengan buah pinang, ketupat dan sungkoi, tumpi, nasi pulut dan nasi
manis, rendai, telur ayam dan akhir sekali tuak ditaburkan atau disimpan
dalam cawan ruas buluh.
Setelah sajian untuk para dewa siap dibahagikan mengikut bilangan
yang betul dan agihan yang cukup, ketua rumah panjang atau kampung akan
membaca doa sambil memegang dan menghayunkan seekor ayam di atas sajian
tadi. Selesai saja doa ini, ayam tersebut akan disembelih dan bulu-bulu
sayapnya akan dilumuri darah ayam itu sebelum diletakkan pada bahan
persembahan tadi. Ayam itu boleh dibersihkan untuk dimasak sebagai
jamuan atau dipanggang terus untuk semua yang hadir pada upacara sajian
itu. Sajian para dewa itu akhirnya digantung pada tempat-tempat
tertentu. Bagi orang Dayak yang telah memeluk agama Kristen, mereka akan
bersembahyang untuk menggantikan upacara persembahan sajian ini.
Selepas itu, makan malam untuk seisi keluarga bagi setiap bilik dalam
rumah panjang atau setiap rumah dalam sesebuah kampung akan menyusuri.
Inilah makan malam besar yang wajib dihadir semua keluarga setelah lama
tidak berjumpa dan masing-masing mencari rezeki di mana-mana boleh.
Makan malam ini boleh diadakan di ruai setiap bilik rumah panjang supaya
boleh makan beramai-ramai di sepanjang ruai rumah panjang. Bagi orang
kampung, mereka boleh makan di sesebuah buah rumah atau di balai raya
masyarakat. Maljis makan ini adalah di lantai ruai rumah yang
dibentangkan tikar-tikar untuk duduk walaupun sekarang meja dan kerusi
ada digunakan untuk yang mampu membeli. Biasanya komuniti Dayak makan
dengan menggunakan tangan dan air basuh tangan akan disediakan.
Selepas makan malam, acara perayaan Gawai Dayak akan bermula secara
rasmi. Jadi, acara-acara rasmi yang telah persetujui sewaktu mesyuarat
komiti rumah panjang akan dilaksanakan satu demi satu. Satu acara
penting tepat jam 12 malam adalah meminum air panjang umur. Tetapi
sementara menunggu kedatangan tengah malam itu, beberapa acara rasmi
akan diadakan seperti berkumpul di ruai ketua rumah panjang atau di
balai raya kampung, perarakan menyambut para dewa, pertandingan ratu
cantik dan permainan sukaria terutamanya untuk kanak-kanak jika sempat.
Tawak akan dipukul untuk memanggil semua penghuni rumah panjang
supaya datang duduk di ruai ketua rumh panjang taua di balai raya
kampung. Mulanya, semua orang-orang utama akan duduk berbaris sepanjang
di dinding ruai atas dalam upacara duduk berbaris yang dipanggil
"bedigir" oleh kaum Iban. Setelah itu, peraturan-peraturan khas dengan
hukumannya sekali akan diumumkan kepada semua hadirin supaya perayaan
gawai berjalan dengan lancar tanpa gangguan, pergaduhan dan malapetaka
yang luarbiasa. Acara ini dipanggil "begeliga" oleh kaum Iban.
Berikutnya, ketua rumah panjang atau kampung akan berucap kepada
semua anak buahnya dan diikuti oleh anak-anak buah yang telah berjaya
dalam persekolahan dan kehidupan mereka. Tujuan semua ucapan itu adalah
untuk memuji kejayaan pada tahun yang sudah-sudah dan memberi motivasi
serta galakan kepada semua untuk berusaha mencapai kejayaan dalam hidup
pada masa akan datang. Anak-anak murid sekolah yang telah berjaya dalam
peperiksaan selalunya akan diberikan hadiah wang tunai sebagai galakan.
Sebelum tibanya tengah malam, satu perarakan untuk menyambut
kedatangan para dewa akan diadakan sepanjang rumah panjang atau balai
raya sebanyak tujuh kali. Pakaian tradisi dengan perhiasan logam duit
siling, logam perak, kulit siput dan manik akan dikenakan. Contohnya,
orang lelaki kaum Iban akan memakai cawat sirat, baju burung, baju
perisai kulit "gagong", topi lelanjang (berhiaskan bulu burung merak dan
kenyalang) dan hiasan perak serta dilengkapi oleh sebuah perisai,
sebilah parang dan tombak. Orang perempuan kaum Iban pula memakai kain
tenunan betating pada pinggang, perisai tembaga (rawai tinggi) pada
tubuh, selendang selampai, rantai laboh (
marik empang),
sikat sugu tinggi, tali pinggang (lampit pirak), anting-anting perak
dan gelang-gelang perak pada lengan dan kaki. Tubuh badan kaum lelaki
selalunya sudah diukir dengan corak-corak tradisi seperti hidupan darat
dan laut sebelum itu mengikut pengembaraan dan pengalaman seseorang itu
[3] atau diukir sementara waktu untuk acara ini.
Pada waktu perarakan itu, pertandingan Kumang dan Keling boleh
diadakan untuk memilih seorang pemenang perempuan dan lelaki yang akan
masing-masing digelar "Kumang Gawai" dan "Keling Gawai" bersama
hadiah-hadiah yang diberikan. Gelaran ini sungguh bermakna bagi kaum
Iban kerana Kumang dan Keling adalah heroin dan hero mistik yang tinggal
di dunia kayangan dan selalu memberikan petolongan dalam kehidupan kaum
Iban pada masa lampau.
Sementara itu, makanan dan minuman tradisi yang telah disediakan
sebelum ini akan terus dihidangkan kepada sesiapa yang ingin menjamu
selera. Ahli-ahli keluarga dan sahabat handai mula datang berkunjung dan
melawat dalam acara rumah terbuka yang akan diteruskan untuk beberapa
hari berikutnya. Acara tradisi kunjung -mengunjungi ini dipanggil
"ngabang" oleh kaum Iban untuk semua rumah=rumah panajng dan lampung
yang semakan dengan sesebuah rumah panjang.
Tepat jam 12 malam pada 31hb Mei, sebuah gong akan dipukul untuk
memberitahu semua orang supaya bersedia dengan minuman panjang umur
masing-masing. Ketua rumah panjang atau kampung akan dilantik untuk
membacakan doa jampi supaya minuman itu memberikan panjang umur,
kesihatan dan rezeki kekayaan pada tahun akan datang. Bagi kaum Iban,
air panjang umur yang dipanggil "ai pengayu" akan ditimang oleh
lemambang (pemuisi) sebelum diminum oleh orang ramai. Biasanya tuak akan
dijadikan air panjang umur dan selepas itu, minuman jenis lain seperti
yang berjenama mahal-mahal belaka akan dibahagikan. Mulanya semua
hadirin bersalaman untuk mengucapkan "Selamat Hari Gawai" dan diikuti
oleh ungkupan pendek "Gayu-guru, Ngerai-Nyamai dan Senang-lantang nguan
menoa" yang bermaksud "Semoga panjang umur, sihat walafiat dan murah
rezeki ketika hidup di dunia".
Selepas tengah malam, suasana akan dimeriahkan lagi dengan acara
pokok kehidupan, pertandingan tarian tradisi seperti ngajat dan datun
jalut, meminum tuak dan menyumpit serta permainan bersukaria.
Salah satu acara utama yang sentiasa diadakan ialah mendirikan sebatang
pokok
kehidupan yang dikenali sebagai "ranyai" oleh kaum Iban di
tengah-tengah ruai selalunya di ruai ketua rumah panjang atau di balai
raya kampung jika belum didirikan pada siang hari tadi. Pokok ini
diperbuat daripada bahagian pucuk kelapa, aping, rumbia atau pohon
pisang di mana umbutnya boleh dimasak dan dimakan bersama oleh orang
ramai. Sebiji gong akan dipukul untuk mengajak semua orang mendirikan
pokok itu bersama-sama dan membawa sumbangan masing-masing untuk
digantung sebagai buah-buah pokok itu. Pokok ini mestilah lebat buahnya
untuk untuk menggembirakan rombongan para dewa, para jemputan dan para
hadirin sekalian.
Pokok ranyai itu akan dihiasi dengan menggantungkan buah-buahnya yang berupa sumbangan
makanan dan
minuman
untuk dicantas dan diambil oleh para penari ngajat yang menari
mengelilingi pokok itu sebagai hadiah. Beberapa biji buah kelapa
selalunya turut digantungkan pada pokok itu sebagai lambang kepala musuh
sewaktu masa dahulu. Jadi, para penari lelaki bolehlah secara simbolik
memenggal kepala musuh yang diwakili oleh buah-buah kelapa itu.
Sebenarnya, dikatakan asal-usul tarian ngajat adalah daripada budaya
mengayau pada dahulu kala di mana para pengayau yang berjaya
dialu-alukan dengan muzik tradisi dan mereka yang gembira menari-nari
meraikan kejayaan itu.
Pertandingan tarian tradisi boleh diadakan pada waktu menari
mengelilingi pokok ranyai ini. Tarian ngajat ada beberapa jenis seperti
ngajat perempuan, ngajat lelaki, ngajat pua kumbu, ngajat lesong, ngajat
pahlawan, ngajat bebunuh dan sebagainya mengikut kreativiti si penari.
Selain tarian ngajat, orang lelaki bolehlah menunjukkan seni
mempertahankan diri seperti kuntau (silat jari) dan penca (silat
parang).
Tarian tradisi ini diiringi oleh muzik tradisi. Bagi kaum Iban, set
muzik tradisinya terdiri daripada satu set engkerumong (gong kecil),
sebiji tawak (gong besar), sebuah bebendai (gong leper) dan sebatang
gendang. Sape adalah alat muzik kaum Orang Ulu yang dimainkan untuk
tarian tradisi yang dipanggil "datun jalut" dan "nganjak lansan".
Jika dipersetujui oleh semua, sebuah bakul dikaitkan pada pokok itu
untuk para penari memberi sumbangan derma untuk komiti rumah panjang
atau kampung. Wang derma ini boleh digunakan untuk tujuan kebajikan
ahli-ahli rumah panjang pada masa-masa kesulitan seperti sakit tenat
atau kematian, atau untuk projek-projek khas seperti membeli alat
pencegah kebakaran rumah panjang atau kampung.
Satu lagi acara pada pokok "ranyai" itu ialah menyediakan sebiji batu
geseran di dalam sebuah dulang berair. Memang sudah menjadi tradisi,
batu yang agak kasar sedikit digunakan oleh kaum perempuan menggeser
kulit untuk membuang daki sewaktu mandi. Jadi, sesiapa boleh menggeser
bahagian belakang atas sendiri dengan batu itu sebagai tanda simbolik
untuk mendoakan "kesejukan" atau keselamatan dalam kehidupannyan pada
masa akan datang.
Selain itu, acara untuk orang-orang dewasa Dayak yang berbakat dalam
mainan suara puisi rakyat selalunya disertakan untuk memeriahkan suasana
sambutan Gawai Dayak dan menyuburkan warisan kebudayaan komuniti Dayak
sendiri. Misalannya, puisi-puisi rakyat kaum Iban termasuklah pantun,
pelandai, ramban dan sebagainya.
[4]
Salah satu acara kesukaan ramai sekarang adalah pertandingan
menyumpit menggunakan sebatang sumpitan dan anak panahnya yang dipanggil
"laja" oleh kaum Iban. Sumpit adalah sebatang kayu lurus sepanjang
kira-kira 9 kaki dan yang digerudi pada tengah-tengahnya. Pada masa
dahulu, sumpit digunakan untuk memburu binatang buas dan burung liar
pada masa dahulu kerana hujung anak panahnya direndam dalam sejenis
racun daripada kulit kayu hutan. Kawasan yang terkena sekitar anak panah
beracun itu akan dibuang secepat mungkin bagi mengelak bahaya daripada
dimakan. Sekarang ini, sasaran pertandingan menyumpit bolehlah berupa
belon, tembikai atau mentimun.
Permainan sukaria tradisi biasanya diadakan untuk orang dewasa
seperti pertandingan meminum tuak, lawan lengan (bibat lengan), lawan
kaki (bapatis), tarik sebatang kayu (Batarit lampong) dan tarik tali.
Pada zaman sekarang, permainan sukaria kanak-kanak adalah seperti
bersembunyi dan mencari, berlari dalam guni, berlari berpasangan dengan
sebelah kaki diikat bersama, meniup belon dan kerusi muzik. Acara
permainan ini boleh diadakan pada keesokan harinya jika masa tidak
mengizinkan pada malam 31hb Mei terutamanya jika acara pokok ranyai
menjadi panjang kerana kemeriahan dan keseronokannya yang menghiburkan
semua.
Sambutan Gawai Dayak pada malam 31hb Mei berakhir dengan "penebangan"
pokok "ranyai" bila malam telah menjelang sumbuh. Hanya seorang tua
yang berstatus tinggi dan dihormati akan disuruh menebang batang pokok
itu. Penari ngajat yang lain hanya boleh mencantas dahan-dahan pokok itu
dan buah-buahnya. Selalunya seekor ayam akan turut disertakan pada
pokok itu. Jadi, ayam ini akan disembelih bila tumbangnya pokok itu dan
dibersihkan untuk dimasak bersama-sama oleh orang ramai sebelum bersurai
untuk berehat atau tidur kerana acara hari esok sedang menanti.
Perayaan pada hari kedua Gawai Dayak
Pada keesokan harinya, setiap bilik dalam sesebuah rumah panjang atau
kampung akan bersedia untuk acara rumah terbuka kepada orang ramai
dengan menghidangkan makanan dan minuman di bilik atau di ruai mereka.
Orang Dayak akan terus berpesta sambil bersukaria sesama sendiri.
Jika ada para tetamu jemputan khas, acara menyambut tetamu akan
diadakan oleh seluruh warga rumah panjang atau kampung. Selalunya,
sebuah kuta yang berupa sebatang buluh dan digantungkan sehelai kain
tradisi akan direntangkan pada jalan ke arah rumah panjang atau balai
raya kampung. Selepas melafazkan puisi kata-kata untuk membuka kuta,
ketua tetamu akan diminta untuk mencantas kuta tersebut dengan sebilah
parang tajam. Acara simbolik ini menandakan semua halangan atau
rintangan yang ada telah pun diatasi supaya rumah itu pun terbuka untuk
tetamu.
Sebelum naik ke rumah, ketua tetamu sekali lagi diminta melembing
seekor haiwan yang disediakan di kaki tangga rumah oleh pihak tuan
rumah. Acara ini secara simbolik menandakan persembahan kepada para dewa
and ampun-mengampuni antara pihak tuan rumah dan para tetamu dengan
mengalirnya darah haiwan itu ke tanah di kaki tangga. Haiwan itu akan
dibersihkan dan dimasak sebagai hidangan makanan untuk semua orang.
Bila saja tetamu masuk ke rumah, mereka terus dijamu minuman yang
dinamakan air naik dan air haus oleh sekumpulan perempuan yang berbaris
menyambut ketibaan mereka di kiri dan kanan kepala tangga atau pintu
rumah. Adalah menjadi amalan tradisi bagi orang yang memberi minuman
kepada seseorang akan minum atau merasa sedikit daripada air minumannya
dahulu sebelum memberikan minuman kepada orang lain. Amalan ini
membuktikan minuman itu adalah sedap dan selamat untuk diminum. Jika
tidak, seseorang boleh menyuruh orang yang memberi minuman itu supaya
merasa minumannya dahulu sebelum menerima pelawaan untuk minum.
Jika pemberi minuman enggan merasa minumannya duluan, orang lain
berhak menolak pelawaan minumnya. Ini penting kerana dahulu sesetengah
orang Dayak terkenal dengan ubat dan azimat pengaroh yang boleh
bertujuan baik atau jahat terutamanya bila berdepan dengan orang yang
tidak disenangi atau seseorang itu ingin mencuba kerberkesanan ubat atau
azimatnya.
Satu lagi amalan acara jamuan minuman ini ialah semua orang
menggunakan atau berkongsi satu gelas yang sama. Jadi, si penjamu
minuman tak payahlah terpaksa minum dahulu sebelum setiap orang lain
kerana dia boleh minum dahulu sekali sahaja pada permulaannya dan dengan
nyaring sekali mengumumkan dia akan merasa minumannya duluan supaya
didengar dan dilihat oleh sekumpulan orang lain yang ingin dijamunya.
Pada masa sekarang, sebuah dulang berisi air akan dibawa bersama penjamu
minuman untuk membasuh gelas atau cawan yang digunakannya menjamu
minuman. Ada juga orang yang pandai meneguk minumannya tanpa bibirnya
menyentuh gelas atau cawan itu.
Perarakan tetamu terus diadakan dengan berjalan sepanjang rumah
panjang sebelum dipersilakan duduk di ruai ketua rumah atau ketua gawai.
Perarakan ini didahului oleh sekumpulan penari tradisi lelaki dan
perempuan yang memakai pakaian tradisi berwarna-warni, diikuti oleh
rombongan tetamu dan diiringi oleh sekumpulan pemuzik tradisi. Sewaktu
perarakan ini, semua penghuni rumah panjang akan berdiri dan berbaris di
kanan dan kiri ruai sambil mengucapkan selamat datang dan berjabat
tangan pda zaman sekarang. Ketua rumah atau ketua gawai akan melaungkan
kepada semua untuk menerima para tetamu yang sedang diarakan itu: Sila
sambut, sambutlah para tetamu dengan segala hormatnya!
Selepas para tetamu dipersilakan duduk, mereka akan didoakan oleh
ketua rumah atau ketua gawai dengan memegang dan menghayunkan seekor
ayam supaya kunjungan mereka membawa berkat dan malapetaka dihindari.
Selesai doa ini, para tetamu terus dijamu minuman beberapa kali yang
dinamakan air basuh, air untung dan air hormat yang harus diterima
tetamu sebagai tanda hormat-menghormati. Lagi sekali, orang yang
membahagi minuman itu akan minum duluan sebelum para tetamu. Selepas
minum, upacara sajian "miring" yang ringkas diadakan untuk menyambut
tetamu dan para tetamu diundang untuk menyediakan sajian itu untuk
memohon ampun dan roh pembaziran.
Kemudian, acara ucapan rasmi dimulakan. Ketua tuan rumah menyampaikan
ucapan alu-aluan, selamat datang dan selamat hari gawai kepada tetamu
jemputan khas dan hadirin semua. Ketua tetamu pula akan diminta untuk
membalas ucapan tuan rumah dan akan menyampaikan pertolongan jika ada.
Selalunya jika orang kenamaan yang dijemput seperti pemimpin masyarakat
atau ahli politik, mereka akan membawa buah tangan dengan memberikan
sumbangan derma atau projek kecil.
Seterusnya, barulah acara makan dan minum tetapi sebelum itu sejenis
ungkupan puisi membuka selimut makanan dan minuman akan dilafazkan oleh
seseorang yang berbakat selalunya lemambang (pemuisi). Makanan dan
minuman yang disediakan khas itu akan diselimuti dulu dengan kain
tradisi "pua kumpu" yang akan dibuka setelah dipuisikan. Ini secara
simbolik menandakan hidangan telahpun disediakan dengan rapi dan semua
para hadirin dijemput untuk menjamu selera.
Pada masyarakat Dayak, adalah menjadi tradisi semua hadirin termasuk
jemputan dan tuan rumah makan bersama-sama serentak. Sebagai tanda
kemesraan dan hormat, adalah adat asal kaum Dayak menghidangkan makanan
secara langsung kepada para tetamu berbanding cara layan diri atau
"buffet" yang lazim sekarang ini. Para hadirin akan diminta duduk
berbaris dalam deretan sepanjang ruai rumah panjang untuk majlis makan.
Sekumpulan anak muda dari tuan rumah akan menghulurkan pinggan kepada
semua hadirin secukupnya sebelum membahagikan makanan kepada semua satu
demi satu. Cara ini dapat memastikan semua hadirin dapat makan dan
hidangan makanan adalah mencukupi tanpa pembaziran makanan. Jadi, pihak
tuan rumah dan para tetamu makan dan minum jamuan yang sama.
Bagi masyarakat Dayak, adalah menjadi adat hormat untuk menawarkan
makanan dan minuman kepada tetamu walaupun seseorang itu mungkin adalah
orang asing atau haiwan ternakan yang mungkin sesat jalan.
Sekurang-kurangnya, nasi dan garam akan ditawarkan jika tiada lauk-pauk
lain. Pada zaman dahulu, seseorang tangkapan perang boleh diangkat
menjadi ahli keluarga penangkapya jika dia telah berkhidmat dan berjasa
kepada tuannya melalui Gawai Batimbang (Pesta Mengangkat Ahli Keluarga).
Sampai begitulah betapa masyarakat Dayak mesra hormat dan kasih sayang
kepada orang lain dan sesama sendiri. Kalau ada silap salahnya akan
diselesaikan dengan cara adat istiadat tradisi dengan memegang prinsip
"Hal kecil dijadikan tiada manakala hal besar dijadikan kecil".
[5]
Acara tradisi sabong ayam jantan biasanya akan diadakan oleh kaum
lelaki semasa gawai. Seorang ketua sabong akan dilantik untuk menentukan
kalah menang dan peraturan-peraturan sabong. Sebenarnya, acara laga
ayam ini adalah amalan kepercayaan tradisi dan aktiviti masa lapang
komuniti Dayak yang terkenal. Oleh itu, komuniti Dayak mempunyai
pengetahuan mengenali jenis-jenis bulu dan sisik kaki ayam jantan yang
menandakan nasib dan kemenangannya. Pada asalnya, acara sabong tradisi
hanyalah untuk tiga kali perlawanan saja di bahagian verandah (tanju)
rumah panjang dan selepas itu ia adalah acara bebas bagi yang berminat
untuk disambung di tanah lapang di luar rumah.
[6]
Sebelum gawai, ayam-ayam jantan yang baik-baik belaka akan dipilih
untuk dipelihara khas dengan mengikat kakinya (ditambat dalam bahasa
Iban) atau disimpan di dalam sebuah reban di luar rumah. Ayam-ayam
sabung ini akan dibela sebaik mungkin, diberi makan minum secukupnya,
dimandikan di air, dilatih berlawan dan akhir sekali diberi ilmu kebal
sebelum melagakannya. Sebelum hari menyabung, seorang lemambang
(pemuisi) akan diminta untuk mengdeklamasikan "renong sabung" pada malam
sebelum hari menyabung yang mengisahkan sejarah menyabung ayam.
Pada zaman sekarang, acara kunjung-mengunjungi akan diatur supaya ada
yang menunggu untuk dikunjungi dan ada yang dijemput untuk mengunjungi.
Ini bertujuan mengelak percanggahan acara di antara rumah-rumah panjang
sekitarnya. Tarikh=tarikh gawai tertentu akan diumumkan lebih awal demi
mengelak percanggahan ini. Tarikh-tarikh gawai akan disusun satu demi
satu.
Perayaan gawai-gawai sebenar sekitar Gawai Dayak
Beberapa hari sebelum atau selepas Gawai Dayak pada 31hb Mei dan 1hb
Jun, ada beberapa jenis gawai sebenar bagi komuniti Dayak yang selalunya
diraikan kerana bekalan beras yang banyak selepas musim menuai padi.
Gawai Bersimpan Padi akan diraikan untuk upacara menyimpan sejumlah
padi yang banyak di atas siling (sadau) rumah sebagai tempat kediaman
roh padi dan mengelakkan kecurian atau makluk perosak. Gawai ini
diadakan apabila siap menggugurkan bijian padi daripada tangkainya,
mengipas untuk mengasingkan biji padi berisi daripada hampanya dan
mengeringkan biji padi bernas untuk disimpan dalam jangka masa yang
panjang. Akhir sekali, padi daripada huma atau sawah yang jauh daripada
rumah akan diangkut ke rumah untuk keselamatan padi itu.
Sebelum memulakan musim penanaman padi yang baru, Gawai Batu
[7] boleh diraikan untuk mengasah tajam peralatan logam pertanian seperti parang dan beliong atau kapak sekarang ini.
Gawai Lelabi (Majlis Perkahwinan atau Melah Pinang
[8]
dalam bahasa Iban) selalunya diadakan pada musim ini kerana ramai yang
pulang ke kampung halaman sewaktu cuti Gawai Dayak. Bagi kaum Iban, adat
"nguai" iaitu samaada pengantin perempuan mengikuti pengantin lelaki
tinggal di rumahnya atau sebaliknya akan diputuskan dahulu sebelum
berlangsungnya perkahwinan. Semasa maljis perkahwinan, pasangan mempelai
itu akan selalunya memakai pakaian tradisi dan duduk di pelamin tawak
supaya ahli-ahli keluarga dari kedua-dua belah boleh mengucapkan selamat
pengantin baru kepada raja dan ratu sehari itu. Doa perkahwinan akan
dilakukan oleh seseorang yang dihormati seperti ketua rumah sambil
memegang dan menghayunkan seekor ayam di atas kepala mereka. Dewa yang
diminta untuk memberkati perkahwinan mereka ialah Selampandai sebagai
dewa pembuatan supaya perkahwinan itu berkekalan hingga ke anak cucu dan
mereka melahirkan ramai anak sebagai waris.
Antara gawai-gawai lain yang boleh didirikan selepas musim menuai padi bila ada banyak beras ialah Gawai Pangkong Tiang
[9]
untuk memohon restu keselamatan, kesihatan dan rezeki selepas berpindah
ke rumah baru, Gawai Tuah untuk mencari dan memasukkan nasib, Gawai
Tempayan untuk memasukkan tempayan tembikar yang baru dipeolehi
[10], Gawai Roh untuk meraikan roh-roh orang yang telah meninggal
[11],
Gawai Kalingkang, Gawai Burung untuk memberi makan burung-burung bisa
mengikuti kepercayaan asal dan Gawai Kenyalang untuk menaikkan patung
burung enggang di atas tiang yang tinggi sebagai tanda simbolik memohon
petolongannya menjemput dewa kegagahan dan menyerang musuh
[12]. Gawai Mimpi juga boleh diadakan pada masa ini untuk bersyukur atas mimpi yang baik atau menawar mimpi yang buruk.
Ada juga yang mengambil peluang ini untuk mengadakan Gawai Sakit
[13]
selepas usaha penyembuhan lain seperti "begama" dan "belian" gagal
mengubati si pesakit. Dua lagi upacara penyembuhan ajaib yang agak besar
ialah "besugi sakit" dan "berenong sakit". Si pesakit boleh juga pergi
"nampok" atau bertapa untuk mencari penyembuhan ajaib.
Di samping itu, ada yang mendirikan Gawai Betambah Bulu untuk membuat
sehelai baju berbulu yang boleh dipakai bila-bila terasa tidak sedap
tubuh badan dan Gawai Menangga Langit untuk memohon pengampunan jika
telah disuruh dalam mimpi untuk melakukan sesuatu yang tidak boleh
dilakukan kerana sebab-sebab tertentu.
Jika tidak meraikan sesuatu gawai sebenar, seseorang Dayak akan
meraikan Gawai Dayak pada umumnya. Jadi, Gawai Dayak adalah musim
perayaan bagi pelbagai jenis pesta tradisi dan sosial. Gawai-gawai
sebenar ini akan menjemput para tetamu daripada kawasan sekitar.
Setiap kaum Dayak mempunyai pesta-pesta tradisi tersendiri tetapi
mereka semuanya merayakan pesta menuai. Kaum-kaum Dayak di Kalimantan
juga meraikan beberapa pesta-pesta tradisi pada sekitar musim menuai
ini. Musim menuai berlaku pada jangka waktu yang lebih kurang sama
kerana musim permulaan penanaman bergantung kepada faktor geografi iaitu
kedudukan Bintang Banyak dan Bintang Tiga
[14] yang boleh dilihat oleh semua manusia di langit pada waktu malam.
Perayaan Pra-Gawai Dayak
Sekarang, Gawai Dayak diadakan pada peringkat daerah, bahagian dan
negeri di Sarawak. Acara yang memeriahkan suasana perayaan Gawai Dayak
sudah tentunya Pertandingan Ratu dan Raja Gawai yang dikenali sebagai
"Kumang Gawai" dan "Keling Gawai". Pertandingan ini bermula di peringkat
daerah, kemudian ke peringkat bahagian dan kemuncaknya pada peringkat
negeri.
Di bandar-bandar, Gawai Dayak diraikan di sesuatu tempat seperti
restoran atau hotel. Oleh kerana, ramai kaum Dayak yang akan balik
kampung untuk meraikan Gawai Dayak di rumah-rumah panjang masing-masing
pada pengujung bulan Mei, program pra-gawai diraikan biasanya pada awal
bulan Mei. Pesta Pra-Gawai di bandar-bandar adalah mirip perayaan Gawai
Dayak di rumah panjang atau kampung.
Selalunya, sebuah persatuan Dayak atau komiti gawai akan ditubuhkan
di sesuatu daerah atau bahagian. Sebuah tempat akan dipilih dan sejumlah
meja akan ditempah dengan tiket dijual kepada orang ramai yang ingin
bersama meriakan gawai. Seseorang tetamu khas seperti orang kenamaan
akan dijemput yang selalunya akan memberikan derma kepada persatuan
Dayak berkenaan. Tuak akan disediakan untuk setiap meja. Makanan dan
minuman ditempah dari restoran atau hotel. Makanan tradisi pansoh ayam
dan umai akan disediakan oleh komuniti Dayak setempat untuk dikongsi
dengan orang ramai. Pokok ranyai akan didirikan. Upacara "miring" juga
dilakukan. Ada tarian tradisi dengan muzik tradisi dipersembahkan.
Pertandingan Kumang dan Keling juga diadakan. Pantun boleh juga
dinyanyikan oleh seseorang yang pandai atau dimainkan dari cekera padat.
Karaoke lagu-lagu Dayak selalunya disertakan. Acara penutupan iaitu
menggulung tikar pun diadakan di bandar-bandar.
Penutupan Gawai Dayak
Pada akhir bulan Jun, majlis penutupan Gawai Dayak akan diadakan
dengan acara simbolik menggulung tikar yang dipanggil "Ngiling bidai"
oleh kaum Iban. Acara ini merupakan maljis kecil atau sederhana di mana
ada makan minum setakat yang masih ada, pokok ranyai yang lebih kecil
boleh didirikan, diikuti tarian ngajat sekurang-kurangnya dan tuak peruk
mungkin dihidangkan. Ruak peruk disediakan daripada hampas nasi pulut
yang tinggal dalam tempayan setelah air tuaknya hampir habis diminum.
Jadi, tuak peruk selalunya berwarna putih. Akhir sekali, sebuah tikar
yang dipanggil "bidai" akan digulung untuk menandakan tutupnya perayaan
Gawai Dayak.